Saturday, October 30, 2010

cinta remaja


Cinta remaja – Jangan hilang kawalan


MEMILIKI perasaan cinta adalah suatu fitrah. Mencintai dan dicintai tidak ditegah oleh Islam. Cinta dalam Islam ialah cinta kerana Allah (ikhlas) dan berhikmah untuk manusia. Maksudnya, dalam Islam cinta yang paling agung ialah cinta dan kasihkan Allah. Apabila kita cinta dan kasihkan Allah bermakna apa yang Allah suruh kita ikut dan apa yang Allah tegah kita jauhkan.

Cinta dan dan kasih kepada Allah ialah melakukan apa yang Allah redha. Apabila kita langgar redha Allah, bermakna hilanglah rasa cinta dan kasih kepada Allah. Apabila kita taat dan akur dengan kehendak Allah, hubungan kita dengan Allah menjadi dekat dan rapat, dan daripadanya timbul rasa cinta dan kasih. Allahlah menjadi tempat kita mengadu. Allahlah tempat kita melepaskan rindu. Allahlah tempat kita mohon petunjuk dan hidayah.

Cinta kepada manusia adalah hikmah cinta kepada Allah. Maksudnya kalau cinta dan kasih kita kepada Allah itu ikhlas, dengan sendirinya cinta kita kepada manusia juga ikhlas. Contohnya, cinta kita kepada ibu bapa adalah gambaran keikhlasan kita kepada Allah. Islam menyuruh kita cinta dan kasih kepada ibu dan ayah. Merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita. Merekalah yang membentuk mendidik kita menjadi manusia berguna. Seperti juga Allah mencipta kita. Allah memberi rahmat dan nikmat kepada kita. Allah memberi kita nyawa dan kesihatan. Kerana itu timbul cinta dan kasih kepada Allah kerana ihsan atau kebaikan Allah kepada kita.

Hal yang sama juga kepada kedua-dua ibu bapa kerana membesar dan mendewasakan kita. Kebaikan atau budi baik ibu bapa kepada kita sangat banyak. Jadi apabila cinta dan kasih kepada ibu bapa adalah kerana Allah, bermakna ada sifat ikhlas di situ. Cinta yang ikhlas diberi berkat oleh Allah.

Cinta bagi remaja mesti mengikut keutamaan. Pertama, cinta atau kasih kepada ibu bapa. Kedua, remaja mesti ada perasaan cinta kepada ilmu terlebih dahulu. Pentingnya ilmu kerana ia bakal memandu kesejahteraan hidup kita. Selepas berilmu, remaja mungkin ada perasaan cinta kepada manusia yang berlainan jenis. Ia adalah suatu fitrah. Cuma cinta kepada yang berlainan jenis harus ada asasnya.

Sekiranya cinta kepada yang berlainan jenis berasaskan cinta nafsu semata-mata, ia boleh membawa kesan yang tidak baik. Tetapi sekiranya ada perasaan cinta kepada seseorang, jalan syarak terbuka luas untuk dituruti. Cinta kerana nafsu selalu membawa kepada lesu. Cinta kerana nafsu selalu memerangkap remaja kepada maksiat dan fitnah. Tetapi sekiranya ada perasaan cinta dan kasih kepada Allah, remaja akan dipandu untuk patuh kepada pantang larang Allah. Kasih kepada Allah bermakna patuh kepada hukum-hakam Allah. Apabila patuh kepada hukum-hakam Allah, remaja akan dapat mengawal diri.

Remaja apabila sampai ke tahap dewasa, semakin subur perasaan cintanya kepada manusia. Apabila sampai masa yang sesuai, jalan syarak memberikan kita asas membuat keputusan. Kita boleh membuat pinangan dan masuk ke gerbang perkahwinan. Dan pada waktu itu cinta dan kasih kepada manusia menjadi lebih asli dan lebih kuat.

Remaja jangan terjebak dengan cinta kerana nafsu. Rasa cinta perlu ikut keutamaan. Pertama, cinta kepada Allah. Kedua, cinta kepada ibu bapa. Ketiga, cinta kepada ilmu dan kebaikan. Sekiranya tiga langkah sudah dilakukan, maka cinta kepada manusia yang bukan sejenis mestilah berlaku kerana Allah (ikhlas) dengan mematuhi hukum-hakam Allah. Cinta sebegini akan menerima redha Allah dan akan diberi barakah.

Isu yang sering berbangkit ialah proses cinta sesama remaja. Dorongan bercinta pada zaman remaja amat kuat. Dorongan untuk berkenalan di kalangan yang berlainan jenis adalah tinggi. Kadang-kadang berkenal-kenalan untuk bersuka-suka bagi mendapatkan hiburan dan keseronokan. Ada juga dorongan perkenalan untuk membiasakan diri dengan pasangan dan akhirnya jatuh cinta dan kemudiannya rindu dendam mula menyubur.

Maslahah

Dalam Islam terdapat maslahah dan maqasid syariah untuk menjaga diri, keturunan dan agama. Dalam hubungannya dengan cinta remaja, tiga perkara ini harus diberi perhatian. Maslahah untuk menjaga diri adalah amat penting terutama apabila tumbuh rasa cinta terhadap seseorang. Cinta sesama manusia boleh di dorong oleh cinta nafsu. Di tahap manusia berada dalam `nafsu al-lawwamah’ atau nafsu haiwaniah menyuburkan rasa cinta boleh membawa akibat buruk dan boleh menyebabkan remaja terjebak dalam gelagat yang melampaui batas.

Bercinta dalam tahap `nafsu al-mutmainnah’ atau nafsu air tenang merasakan cinta kepada Allah berada di puncak yang tertinggi, dan cinta terhadap manusia berada di telapak redha-Nya. Pancaran rindu dan kasih kepada Allah memberikan latihan rohaniah martabat tinggi untuk menyuburkan daya kawalan diri, supaya manifestasi cinta yang manusiawi berlaku dalam batasan-batasan yang terizin.

Sekiranya maslahah diri tidak dijaga, cinta yang didorong oleh kenafsian boleh menjebak remaja ke arah kelazatan sementara, dan akhirnya menghasilkan ketagihan hingga ada yang terdorong melakukan perzinaan dan akhirnya merosakkan keturunan. Apabila keturunan rosak atas dorongan cinta nafsu, nilai kawalan diri sudah tidak ada. Akhirnya para remaja kehilangan suatu kunci kawalan yang amat berharga, iaitu latihan rohaniah bagaimana cinta itu dibina berasaskan kecintaan kepada Allah berhikmah untuk manusia. Cinta seperti ini pasti merosakkan agama.

Cinta kepada Allah berhikmah untuk manusia adalah cinta martabat tinggi. Cinta yang fitrah baik terhadap Allah, ibu bapa atau manusia lain terpancar dengan hati yang ikhlas. Cinta terhadap manusia adalah suatu latihan rohaniah bagaimana dorongan dan keinginan terhadap keinginan hati dan rasa, dapat membentuk watak sabar yang tinggi, dan sentiasa ada kebijaksanaan bagi remaja untuk tidak terdorong terjebak dengan proses cinta yang sifatnya haiwani. Proses memendam rasa adalah proses yang boleh mendewasakan diri dalam disiplin kawalan rohaniah, yang akhirnya dilafazkan menerusi doa dan harapan, dan diterjemahkan dalam amalan puasa dan zikir. Sekiranya cara begini mampu dilakukan oleh para remaja, cinta martabat tinggi terhadap Allah boleh membentuk remaja memiliki jiwa besar, mampu menempuh gelora rindu dendam dan berazam membina tekad menjauhkan diri daripada terjebak dengan cinta haiwani, yang boleh mendorong manusia kepada perlakuan yang melampaui batas.

Bagi remaja, apa yang dinyatakan ini adalah sesuatu yang amat ideal. Sebenarnya cinta kerana Allah berhikmah kepada manusia merupakan pedoman terbaik dalam melalui proses percintaan. Zaman remaja dan belia, rangsangan untuk bercinta amat kuat sekali. Sekiranya perasaan ini dapat disalurkan dengan mengambil pertimbangan Allah, para remaja akan sentiasa memiliki pedoman dan kawalan.

Apabila sampai masanya, cinta yang berputik menjadi subur dan jalan syariah terbentang luas untuk dijadikan pedoman, pernikahanlah merupakan jalan keluar yang terbaik untuk meletakkan cinta manusia pada tempatnya, di bawah bayangan cinta kerana Allah dan hikmah untuk manusia. Di tahap ini seseorang akan menerima panji-panji kemenangan kerana di tahap mencabar yang tinggi di mana gejolak cinta begitu membara, seseorang dapat membuat kawalan diri yang tinggi dengan meningkatkan amalan rohaniah, membentuk hati dan rasa hingga menjadikan seseorang itu matang dan dewasa dalam kewaspadaan dan kebijaksanaan. Status inilah yang amat payah untuk dilakukan seseorang tetapi itulah cinta suci yang amat bermakna bagi seseorang kerana menjadikan Allah sebagai pedoman terbaik dalam melakukan sesuatu. Hikmah inilah sebenarnya boleh membina asas kecemerlangan dan keagungan dalam hidup, kerana apabila di tahap yang kritikal dalam hidup seseorang telah dilatih untuk cekal melakukan kawalan, apalagi apabila menghadapi cabaran-cabaran lain dalam hidup dan perjuangan, pengalaman yang sudah sedia ada menjadi lebih mudah dan sentiasa ditunjuk jalan yang bijaksana oleh Allah s.w.t. Itulah natijah cinta sejati.


No comments: